السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Alhamdulillah, saya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama melangkah ke tahun baru 2011 Masehi sesudah kita melangkah ke tahun baru 1432 Hijrah pada tiga minggu sebelumnya. Sesungguhnya kedua-dua tahun baru yang berlaku hampir serentak ini memberikan satu signifikan kepada kehidupan kita semua.
Tahun 1431 Hijrah dan tahun 2010 Masehi telah berlalu, begitulah peredaran masa yang sudah menjadi sejarah dan kenangan. Berbagai kejayaan dilakar oleh Majlis Daerah Tumpat bersama warga kerjanya sepanjang tempoh tahun 2010 perlulah dijadikan panduan untuk kita terus mencipta kejayaan yang lebih cemerlang. Slogan ”Pejabat Ku Syurga Ku” harus dijadikan azimat kepada semua warga kerja Majlis Daerah Tumpat. Ini penting kerana jika semua warga kerja berjaya menghasilkan kerja-kerja dengan penuh dedikasi, sekaligus menjadikan Majlis Daerah Tumpat sebagai organisasi yang lebih berkualiti berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Selaras dengan iltizam untuk terus menjadi organisasi yang unggul, pada tahun 1432 Hijrah dan 2011 Masehi ini, semua warga kerja dan masyarakat yang menjadi tunjang utama entiti Majlis Daerah Tumpat perlu bersedia untuk terus berubah dari keadaan yang baik kepada yang lebih baik. Pengurusan dan sistem penyampaian dalam organisasi Majlis Daerah Tumpat perlu bebas dari kerenah-kerenah birokrasi lapuk yang menjadi kekangan kepada kecemerlangan perkhidmatan.
Masyarakat setempat yang menjadi warga Majlis Daerah Tumpat juga perlu bersama-sama berganding bahu merealisasi hasrat supaya Jajahan Tumpat terus menjadi tempat yang ”Indah Dan Bersih.” Pemikiran dan cara hidup kita perlu dipandu seperti mana yang telah digariskan oleh Agama Islam.
Oleh itu, marilah semua warga kerja dan masyarakat dalam Majlis Daerah Tumpat persiapkan diri untuk kita meneruskan gerak kerja yang bersepadu dengan penuh dedikasi demi mencapai matlamat seterusnya dapat merealisasikan dasar kerajaan “MEMBANGUN BERSAMA ISLAM”.
Sekian, terima kasih.
HJ SERPUDIN BIN MOHAMAD
Yang Dipertua
Majlis Daerah Tumpat